ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bagi Menangani Isu Pekerja Warga Asing di Pengerang, Kota Tinggi khususnya melibatkan masalah lambakan pekerja asing di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, perkara tersebut diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 21 Mei lalu.
Katanya, jawatankuasa berkenaan mempunyai lima peranan utama antaranya membuat keputusan terhadap isu-isu berkaitan pekerja asing di Pengerang.
“Selain itu, turut membincangkan serta merangka tindakan berkaitan perkara melibatkan kuarters pekerja asing dan menentukan langkah penyelesaian jangka masa pendek dan panjang dalam menangani isu lambakan pekerja asing.
“Tujuan lain adalah jawatankuasa ini turut merangka tindakan penguatkuasaaan terhadap majikan dalam urusan pekerja asing serta membuat keputusan dasar bagi tindakan lanjut jabatan yang terlibat dalam penyelesaian perkara berkaitan pekerja asing,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung perkara itu di Kota Iskandar, di sini.
Tambah Ting Han, jawatankuasa itu dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN); Pejabat Pegawai Daerah Kota Tinggi; Majlis Perbandaran Pengerang (MPP); Pentadbir Tanah Kota Tinggi, Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Jabatan Tenaga Kerja (JTK); Johor Petroleum Development Corporation dan Bahagian Perancang Ekonomi Johor.
“Mesyuarat pertama telah memutuskan bahawa asrama pekerja yang pernah mendapat kelulusan permit bangunan sementara daripada MPP telah dipertimbang untuk menjalani proses pemutihan supaya kawal selia yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
“Isu berkaitan lambakan pekerja asing terabai di Pengerang pada tahun lepas telah menimbulkan kegusaran dan ketidakselesaan masyarakat tempatan berikutan pengurusan kuarters yang tidak teratur, lokasi penempatan kuarters yang tidak sesuai dan tiada pelaksanaan kawalan keselamatan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu MKN dengan kerjasama PDRM, JIM, JTK, MPP dan agensi berkaitan lain telah menjalankan beberapa operasi bersepadu dan lawatan pemantauan sejak Ogos 2023.
“Tinjauan terkini mendapati baki jumlah pekerja asing yang masih berada di tiga asrama penginapan pekerja di Pengerang adalah seramai 461 orang.
“Kesemua mereka mempunyai pekerjaan di kawasan itu. Lain-lain pekerja asing telah dikeluarkan dari asrama penginapan oleh majikan mereka untuk bekerja di tempat lain,” jelasnya sambil memberitahu pemantauan dan penguatkuasaan berkala akan terus dilakukan supaya isu lambakan pekerja asing di Pengerang tidak berulang.
Penggerak Daily