JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Isu-Isu Semasa Agama Islam bagi memastikan kedudukan agama Islam di negeri ini terus dipelihara dan diperkasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, jawatankuasa itu boleh bersidang bila-bila masa khususnya apabila timbul isu yang boleh menggugat akidah, syariah dan akhlak serta hukum syarak sekaligus menggugat ketenteraman masyarakat.
“Fungsi jawatankuasa ini adalah mengkaji, meneliti dan mencadangkan kepada MAINJ serta jabatan atau agensi kerajaan terlibat bagi melaksanakan tindakan lanjut berkaitan sesuatu isu yang terkait agama Islam.
“Selain itu, jawatankuasa ini melibatkan semua jabatan dan agensi di peringkat negeri dan persekutuan temasuk pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kesan penguatkuasaan yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tambah beliau, MAINJ komited memastikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah al-Maturidiyah dan agama Islam terus terpelihara di negeri ini.
Sementara itu, Mohd. Fared turut memberitahu, MAINJ telah mencadangkan beberapa program bagi membantu mana-mana individu yang terlibat dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di negeri ini.
“Cadangan ini bertujuan membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan sebagai anggota masyarakat seperti individu lain.
“Antara cadangan itu adalah Program Pemulihan Akidah, Syariah dan Akhlak; Program Pengesahan Pendaftaran Perkahwinan; Program Bantuan Sara Hidup dan Bantuan Mikro Sara Hidup; Program Kaunseling Keluarga dan Program Dakwah Bekas Ahli,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily