JOHOR BAHRU: Cuti hujung minggu di negeri ini akan ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari depan.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara itu telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Selepas mendapat perkenan dan restu Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.
“Saya juga menitahkan agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek,” titahnya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat swasta, kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan Solat Jumaat pada waktunya.
Pada 2014, cuti hujung minggu Johor telah ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti itu.
Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu ketika ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Penggerak Daily