JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bakal mewartakan garis panduan untuk rakyat negeri ini khususnya umat Islam sebelum menghadiri perayaan dan upacara ritual masyarakat bukan Islam, bermula minggu depan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, fatwa berkenaan garis panduan itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Menurut beliau, masyarakat Islam dibenarkan untuk memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam, namun tidak terlibat dengan sebarang upacara ritual yang berkait dengan amalan agama tersebut.
“Menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan ke majlis perayaan bukan Islam adalah harus dan dibenarkan, contohnya majlis terbuka atau majlis makan malam dan seumpamanya.
“Dalam konteks berkenaan, penganjur majlis perayaan bukan Islam haruslah peka dan memastikan sensitiviti umat Islam dihormati selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan agama rasmi Johor.
“Namun demikian, masyarakat Islam telah diharam dan dilarang daripada menyertai upacara ritual perayaan bukan Islam, ini termasuklah di rumah ibadat agama berkenaan atau di tempat-tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa MAINJ, Baharin Jalal.
Tambahnya, individu yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997
Mohd. Fared turut memberitahu, empat garis panduan tersebut adalah perkara, perbuatan atau perkataan yang bertentangan dengan akidah Islam; bertentangan dengan syarak; bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya serta menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
“Antara contohnya termasuklah meletakkan tanda berciri agama di dahi atau anggota tubuh lain; memberi pujian kepada agama bukan Islam; memakai pakaian santa claus; percampuran tanpa batas; berpakaian menjolok mata serta membuat ucapan yang berbentuk dakyah atau menghina agama Islam,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd. Fared memberitahu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua keagamaan serta pengurus rumah ibadat bukan Islam bagi memberikan penerangan berhubung garis panduan tersebut.
“Langkah ini bukan bermaksud menjarakkan keharmonian kaum dan agama, sebaliknya panduan ini adalah agar semua pihak berhati-hati agar masyarakat Islam tidak terjerumus kepada perbuatan yang melanggar syarak tanpa disedari.
“Semua pemimpin agama termasuk bukan Islam perlu menerima perkara ini, dan diharapkan langkah ini akan bukan sahaja dapat mengukuhkan keharmonian beragama di Johor tetapi juga memastikan akidah umat Islam terpelihara,” jelasnya.
Penggerak Daily