ISKANDAR PUTERI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah mengadakan satu program advokasi melibatkan penunggang basikal bagi tujuan riadah di sekitar Puteri Harbour, di sini kelmarin.
JPJ Johor dalam satu kenyataan memberitahu, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama antara Bahagian Penguatkuasa dan Bahagian Korporatnya.
Menurut kenyataan itu, pihaknya sedar aktiviti berbasikal bagi tujuan riadah semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat melibatkan pelbagai peringkat umur.
“Mengikuti perkembangan ini, jabatan mengambil berat tentang perlunya pengetahuan dan pendidikan keselamatan kepada peminat sukan riadah tersebut.
“Program advokasi itu melibatkan taklimat berkaitan keselamatan jalan raya dan tatacara menunggang basikal di atas jalan selain turut berkongsi beberapa tips keselamatan jalan raya,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, program itu turut disertai Ketua Seksyen Penguatkuasa JPJ Johor, Nazam Hassan dan Ketua Unit Operasi JPJ Johor, Ishak Ali.
“JPJ Johor akan terus mengadakan program sedemikian pada masa depan bagi tujuan pendidikan dan meningkatkan keselamatan kepada semua rakyat.
“Selain itu program seperti ini juga diharap dapat merapatkan hubungan antara JPJ di negeri ini bersama masyarakat setempat,” jelasnya lanjut.
Tambah kenyataan itu, orang ramai yang menyertai program tersebut dan menjadi pemenang kuiz ringkas diberikan ‘goodies bag’ sebagai hadiah dan tanda penghargaan.
Penggerak Daily