JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyasarkan untuk mengutip sebanyak RM2.5 juta bagi nombor pendaftaran JUN yang akan mula dibuka untuk bidaan bermula hari ini.
JPJ Johor dalam satu kenyataan dimuat naik dalam laman Facebooknya memberitahu, bidaan bagi nombor pendaftaran itu akan dibuka selama lima hari hingga 17 Februari menerusi laman web jpjebid.jpj.gov.my.
“Bidaan itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia, penduduk tetap, jabatan kerajaan dan syarikat berdaftar di negara ini.
“Mana-mana nombor yang berjaya dibida akan diberi tempoh 12 bulan untuk didaftarkan pada sebuah kenderaan dengan pendaftaran boleh dibuat di mana-mana pejabat JPJ,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kaedah pembayaran hanya melibatkan penggunaan kad debit atau kad kredit tempatan bagi memudahkan pembida berbanding pembayaran secara manual.
“JPJ berharap rakyat Malaysia dapat mengoptimumkan penggunaan sistem online dikala pandemik Covid-19 masih melanda negara ini,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, sejak sistem bidaan atas talian diperkenalkan pada 21 Ogos 2019 menerusi nombor pendaftaran JTR, pihaknya telah mengutip RM24.8 juta.
Sebarang aduan atau masalah boleh disalurkan kepada emel aduan.jpjebidjdt@jpj.gov.my.
Penggerak Daily