Adun Ayer Hangat Juhari Bulat dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baru, semalam.
Pelantikannya dibuat pada sesi persidangan DUN di Alor Setar bagi menggantikan Ahmad Kassim yang meletak jawatan pada 15 Ogos lepas.
Juhari sebelum ini merupakan timbalan speaker DUN bermula 4 Julai 2018 yang dilantik ketika pentadbiran PH.
Turut dilantik hari ini, Adun Pantai Merdeka Ahmad Fadzli Hashim sebagai timbalan speaker yang baru.
Sidang DUN kali ini yang berlangsung dua hari hingga esok adalah kali pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH pada Mei lepas.
Pada 17 Mei lalu, Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Kedah menggantikan Mukhriz Mahathir yang sebelum itu meletak jawatan susulan hilang sokongan majoriti Adun.
Sumber: Bernama