JOHOR BAHRU: Jumlah eksport produk pertanian negara ke Singapura menunjukkan peningkatan sebanyak 44 peratus dalam tempoh antara Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.48 billion.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan memberitahu, dalam tempoh tersebut sebanyak 308,000 jumlah transaksi direkodkan di dua pintu utama ke Singapura iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Menurut kenyataan itu, jumlah transaksi eskport itu dianggarkan akan terus meningkat sehingga hujung tahun 2021.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pihaknya melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan terus meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara.
Hal itu katanya bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.
“MAQIS BSI telah merekodkan jumlah kes penahanan melibatkan cubaan membawa masuk dan keluar hasil agromakanan tanpa permit sebanyak 37 kes sehingga 30 September 2021 dengan nilai anggaran tahanan RM1.35 juta berbanding 38 kes pada tahun 2020 dengan nilai tahanan RM1.2 juta.
“MAQIS akan sentiasa mempertingkat kecekapan perkhidmatan bagi memudahcara perdagangan pertanian di pintu masuk utama negara sekaligus membantu perkembangan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan sama.
Tambah beliau, sehubungan itu MAQIS telah menambah baik kaedah pemantauan pengimportan dan pengeksportan dengan memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) serta melaksana kawalan kemasukan hasil pertanian bagi tujuan transit dan ‘transshipment’.
Sementara itu, MAFI kini sedang memuktamadkan cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) untuk meluaskan kuasa MAQIS diluar pusat kuarantin, stesen kuarantin serta premis kuarantin melibatkan proses membuat serbuan, siasatan dan penahanan diluar pintu masuk negara.
Pindaan berkenaan juga akan memperkukuh bidang kuasa bagi tujuan kawalan biosekuriti melibatkan semua komoditi pertanian berhubungan dengan aktiviti import dan eksport, pemindahan antara wilayah, transit dan ‘transshipment’.
Tambah kenyataan itu lagi, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu tidak mempunyai impak secara langsung terhadap pengeksportan produk pertanian di CIQ Bangunan BSI.
“Data menunjukkan transaksi eksport ke Singapura dari pintu masuk uni menunjukkan jumlah transaksi meningkat daripada 56,610 pada tahun 2019 kepada 125,151 pada tahun 2020,” menurut kenyataan itu lagi.
Penggerak Daily