JOHOR BAHRU: Seorang kakitangan wanita sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM10,000 kepada majikannya, beberapa tahun lalu.
Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada pukul 10 pagi, hari ini selepas hadir memberi keterangan.
Difahamkan, suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada GLC terbabit berkaitan pelaksanaan program di sebuah daerah di negeri Johor pada tahun 2017 hingga 2019 sedangkan program tersebut tidak dilaksana sepenuhnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita terbabit dan memberitahu kes akan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Penggerak Daily