JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun lemas dalam parit di Flat Desa Mutiara, di sini selepas dipercayai terjatuh ketika memancing, petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Pegawai Bomba Tinggi II, Mohd. Rashid Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.30 petang.
Sehubungan itu, seramai tujuh anggota beserta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba di lokasi, anggota mendapati benar terdapat seorang kanak kanak lelaki berusia 10 tahun telah terjatuh di dalam parit semasa memancing.
“Mangsa kemudian telah berjaya ditemui pada jarak lebih kurang 10 meter dari lokasi dilaporkan jatuh dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rashid, operasi itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 5.25 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian itu.
“Kanak-kanak itu pergi memancing bersama empat yang lain termasuk seorang abang dan rakan-rakan mereka,” ujarnya.
Penggerak Daily