JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh daripada kediaman keluarganya di tingkat 11 di Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda di sini semalam dilaporkan telah meninggal dunia.
Mangsa yang berusia 12 tahun itu pada mulanya mengalami kecederaan patah tangan kiri selepas dilaporkan terjatuh daripada tempat tinggi sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.30 malam tadi ketika sedang menerima rawatan.
“Polis mengesahkan terdapat kes berkenaan, dan kematian kanak-kanak lelaki berkenaan dilaporkan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita melalui aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut merupakan anak tunggal dan berada dalam keadaan tidak sihat setelah demam beberapa hari.
Dalam kejadian berkenaan, kanak-kanak itu dikatakan sedang tidur sebelum mengigau sehingga menyebabkan dia terjatuh daripada ketinggian itu.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Zulkarnain Ariffin memberitahu, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kanak-kanak itu terjatuh pada pukul 7.31 malam, semalam.
“Seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke kejadian bagi operasi menyelamat.
“Kita dapati seorang kanak-kanak lelaki didapati tersangkut di bahagian bumbung kedai di tingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.
“Anggota bomba bertindak
membawa turun mangsa yang mengalami patah tangan kiri dengan menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke HSA Johor Bahru.
Penggerak Daily