JOHOR BAHRU: Kanak-kanak berusia setahun enam bulan yang dikelar ibu kandungnya di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang di sini merupakan seorang yang aktif dan ceria.
Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, kanak-kanak itu merupakan anak tunggal pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada Disember 2021.
Katanya, cucunya itu baharu boleh berjalan boleh mula berkata-kata.
“Mangsa baru ‘dapat kaki’, memang tengah aktif, main sana sini bersama sepupunya khususnya apabila mereka pulang ke kampung halaman di Segamat.
“Kami sendiri terkejut dengan kejadian itu kerana pasangan suami isteri ini memang normal, hubungan mereka baik-baik sahaja. Mereka berusia sebaya dan sudah berkenalan sejak sekolah lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman keluarga tersebut, hari ini.
Bagaimanapun, ahli keluarga itu turut memberitahu, bapa mangsa ada memaklumkan perubahan sikap isterinya, beberapa hari sebelum kejadian.
“Mereka kerap pulang ke kampung halaman, hampir setiap minggu. Kali terakhir pulang adalah pada awal Ramadan, sempat menyambut puasa bersama.
“Cuma suaminya ada beritahu isterinya menjadi pendiam beberapa hari sebelum kejadian, kurang bercakap,” katanya sambil menambah mayat kanak-kanak itu akan dikebumikan di kampung halaman ibunya di Segamat.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar memberitahu, pihaknya telah menahan ibu kandung mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Katanya, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.30 petang, semalam.
“Suspek yang berusia 32 tahun itu telah menghantar gambar kanak-kanak yang berlumuran darah di bahagian leher kepada suaminya melalui aplikasi WhatApps.
“Sehubungan itu, polis telah melakukan tangkapan terhadap wanita berkenaan. Polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily