ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memastikan aktiviti penyeludupan tidak berleluasa sempena pelaksanaan zon bebas cukai di Forest City, bermula Jumaat depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, Kompleks Kastam di Forest City akan dilengkapi dengan teknologi terkini dalam memperkasa penguatkuasaan pihaknya.
Katanya, antara teknologi yang akan digunakan termasuklah teknologi Kecerdasan Buatan (AI), ‘face recognition’, mesin pengimbas dan juga pusat kawalan.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri Johor dan juga pengurusan Forest City, kerana kompleks ini merupakan yang pertama menggunakan teknologi tinggi di Malaysia.
“Jika penggunaan teknologi ini berjaya, kita akan memperluaskan penggunaan sistem ini di seluruh negara, jadi ini boleh dikatakan projek perintis dalam memastikan operasi perkastaman di Forest City ini berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City, di Hotel Marina, di sini hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV), Datuk Md. Othman Yusof dan Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Daing A. Malek.
Tambah Anis Rizana, lokasi Kompleks Kastam Forest City yang baharu menjadikan penguatkuasa pihaknya lebih terfokus apabila ia ditempatkan di satu-satu laluan keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.
“Kompleks Kastam sebelum ini berada di bawah sedikit, jadi yang baharu ini telah dipindahkan agar pemantauan lebih berkesan dapat dibuat bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
“Ini bermakna sesiapa sahaja yang masuk dan keluar daripada kawasan ini akan dapat dipantau menggunakan teknologi yang disediakan,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Md. Othman pula mencadangkan penggunaan teknologi dron bagi memantau dan memastikan tiada aktiviti penyeludupan berlaku di kawasan Forest City selepas diisytihar sebagai zon bebas cukai.
Forest City telah diwartakan sebagai pulau bebas cukai pada September 2024 dan merupakan pulau bebas cukai kelima di Malaysia namun yang pertama boleh diakses menggunakan kenderaan darat.
Penggerak Daily