ISKANDAR PUTERI: Kebanjiran warga Singapura yang hadir ke Johor khususnya pada hujung minggu untuk berbelanja sempena Hari Raya Aidilfitri perlu dilihat daripada aspek positif, khususnya manfaat dibawa kepada ekonomi.
Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim sehubungan itu meminta penduduk negeri ini bersabar dan merancang jadual perjalanan mereka bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan jalan raya pada waktu ini.
“Jika kata jalan sesak, di mana-mana pun sesak termasuklah di Kuala Lumpur atau mana-mana negeri lain. Jadi kita aturlah perjalanan, kita sudah tahu rakyat Singapura masuk ke Johor pada hujung minggu, jadi kita cari waktu sesuai untuk kita berbelanja.
“Pada saya mereka datang berbelanja di negara kita adalah satu perkara bagus khususnya bagi sudut ekonomi. Kita alu-alukan kehadiran lebih ramai lagi pelancong ke Johor termasuklah sempena Aidilfitri ini.
“Saya tahu kenyataan seperti ini akan mendapat kritikan, tetapi ia baik untuk ekonomi setempat,” katanya kepada pemberita.
Tambah Sharil Nizam, antara pihak yang mendapat manfaat secara langsung daripada kehadiran pengunjung luar adalah peniaga-peniaga tempatan termasuklah pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).
“Peniaga-peniaga kita baharu hendak pulih daripada pandemik Covid-19, jadi ini masanya untuk kita bekerja lebih keras dan mempromosi pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Saya yakin, jika kita ambil peluang ini sebaik-baiknya, kesan positif bukan hanya buat golongan peniaga tetapi juga ekonomi negeri dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Tidak mustahil ia akan turut menyumbang kepada pengukuhan matawang ringgit di peringkat antarabangsa,” jelasnya sambil memberitahu faktor perbezaan matawang turut memainkan peranan terhadap peningkatan kehadiran warga republik itu ke negeri ini.
Beliau bagaimanapun mengakui situasi pada tahun ini berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu.
“Memang lain macam, tahun ini lebih meriah suasananya dengan kehadiran lebih ramai pengunjung Singapura. Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di sini menjadi tumpuan.
“Antara lokasi utama termasuklah pusat bandar raya Johor Bahru, Bandar Baru Uda, Angsana Johor Bahru Mall, Pandan serta beberapa pusat beli belah ternama di bandar raya ini,” jelasnya lanjut.
Sejak awal Ramadan lalu, penduduk Johor Bahru berkongsi isu kesesakan jalan raya khususnya pada waktu hujung minggu dengan mendakwa kehadiran rakyat Singapura sebagai punca kesesakan yang berlaku.
Penggerak Daily