Categories
Berita Budaya Jenayah Lifestyle pembangunan Teknologi

KEBEBASAN MEDIA DAN CABARAN KKMM DALAM ERA DIGITAL

Dalam World Press Freedom Index (FMI) 2020, Malaysia menduduki tangga ke 100, naik 22 anak tangga berbanding tahun 2019 manakala pada tahun 2018, Malaysia di kedudukan 145.

Indeks ini menunjukkan tahap kebebasan media di Malaysia semakin meningkat. Angka ini semestinya kejayaan besar bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi kerana dalam masa dua tahun kebelakangan ini naik hampir 44 anak tangga.

Seorang saintis politik, John Miller berpendapat – kebebasan media dan kebebasan bersuara menjadi penyumbang kea rah mewujudkan satu persekitaran kondusif kepada sistem demokrasi. Menurut Roskin pula, jika diperhalusi, daripada 10 elemen yang terkandung dalam demokrasi ialah kebebasan media.

Perkembangan industri teknologi komunikasi sentiasa berlaku seiring dengan perubahan masa dan zaman telah menghasilkan dan mereka cipta pelbagai alat komunikasi terutamanya pelbagai jenis telefon sehingga komputer telah mengubah cara, corak dan bentuk masyarakat berfungsi dan berfikir dalam kehidupan yang serba baharu dan mencabar, termasuklah pengalaman di Malaysia.

Perkembangan media massa seperti televisyen di Malaysia bermula pada tahun 1963 di bawah kawalan kerajaan Persekutuan. Kerajaan telah menubuh sebuah agensi penyiaran yang dinamakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diseliakan oleh Jabatan Penyiaran Malaysia.

Jabatan Penyiaran Malaysia berfungsi bagi menyebarkan maklumat dan dasar-dasar kerajaan selain daripada hiburan seperti drama dan rancangan hiburan.

Masa berlalu, dari era moden kepada era globalisasi, dunia sekali lagi mengalami ledakan teknologi yang semakin pesat dan terlalu pantas sehinggakan televisyen semakin ketinggalan dan kurang digemari. Sebelum itu, televisyen hanya bertindak sebagai satu hala sahaja iaitu antara kandungan program dan penontonnya.

Perkembangan teknologi komunikasi seperti media baharu turut menerima kesan yang ketara dan bahangnya. kemudahan yang tiada pada televisyen seperti teks, grafik, imej, audio, intraktif dan video. Kehebatan internet dapat memberi kemudahaan yang cepat dan pantas iaitu dalam satu masa merangkumi media yang lain seperti suratkhabar, majalah, radio dan televisyen.

Kini, pelbagai aplikasi internet yang digunapakai mengikut keperluan dan kesesuaian untuk komunikasi seperti youtube (2005), whatsapp (2009), facebook (2004), twitter (2006), skype (2003), linkedln (2003), blog (1997) dan Instagram (2010). Tentu fenomena ini lebih mencabar kerana ledakan maklumat dari pelbagai sumber semakin pesat dalam kalangan masyarakat.

Dalam usaha mengekalkan kebebasan media, cabaran ledakan maklumat dari pelbagai sumber wajar diperhalusi kerana kecenderungan untuk tersebarnya berita palsu lebih tinggi.

Di sinilah cabaran yang terpaksa dihadapi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi menyahut cabaran kebebasan media.

Cabarannya ialah bagaimana negara perlu mengawal kepelbagaian maklumat yang mempunyai pelbagai kepentingan. Malahan, lebih sulit apabila maklumat yang disebarkan tidak selari dengan kepentingan negara.

Cabaran ini penting untuk diselesaikan kerana keadaan atau perubahan posisi media arus perdana dan media alternatif menyumbang punca populariti platform-platform media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia yang mana membawa penularan berita-berita palsu.

Kita sudah melihat bagaimana KKMM memainkan peranan penting mengekang berita palsu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menangani penularan Wabak COVID-19.

Sungguh, cabaran terbesar KKMM ialah ketika ini ialah mengimbangi hak kebebasan media dalam waktu yang sama mengawal dan membendung ledakan berita palsu. Peranan ini sukar bagaikan ‘menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan selerak”.

Hal ini kerana jika kawalan media yang dilaksanakan membataskan hak kebebasan media, tentu ini menyimpang dari prinsip KKMM.

Namun jika kebebasan media dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, impaknya bukan kecil. Kesannya bukan sahaja membawa kepada kesalahan maklumat, malahan mengundang kegusaran awam seperti politik kebencian, hasutan dan fitnah.

Justeru, perkara ini cenderung menimbulkan isu yang mengganggu-gugat ketenteraman awam seperti isu perkauman, agama serta fitnah politik.

Namun, walaupun kita sedia maklum dengan cabaran-cabaran yang dihadapi kerajaan berhubung isu kebebasan dan berita palsu ini, kerajaan tetap komited menegakkan kebebasan akhbar dan pada masa sama kebebasan tersebut selari dengan prinsip kebenaran dan keadilan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata, dalam era teknologi maklumat abad ke-21, media bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus, tetapi melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

PenggerakDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *