Categories
Berita Teknologi

KEBOCORAN MAKLUMAT SYARIKAT CHINA, DATA PERIBADI 1400 RAKYAT MALAYSIA TERDEDAH

Data peribadi 1,400 rakyat Malaysia terdedah akibat kebocoran maklumat China.

Sebuah syarikat China yang mempunyai kaitan dengan rangkaian tentera dan perisikan Beijing mengumpulkan pangkalan data yang besar berhubung maklumat peribadi 2.4 juta orang, termasuk 1,400 rakyat Malaysia.

Menurut laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC), pangkalan data itu dibocorkan daripada syarikat Shenzhen Zhenhua Data, yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perisikan China.

Kebocoran itu mengundang persoalan mengenai keluasan dan skop operasi pengumpulan maklumat oleh China kerana Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dan Parti Komunis China merupakan pelanggan utama syarikat tersebut.

Pangkalan data itu dibocorkan kepada ahli akademik Amerika Syarikat yang berpangkalan di Vietnam, Chris Balding, yang pernah bekerja di Universiti Peking sehingga 2018 sebelum meninggalkan China atas faktor keselamatan.

Daripada 250,000 rekod yang ditemui oleh syarikat keselamatan siber di Canberra, terdapat 1,400 rakyat Malaysia, 2,100 Indonesia, 52,000 Amerika Syarikat, 35,000 Australia, 10,000 India, 9,700 UK, 5,000 Kanada dan 138 warga Papua New Guinea.

“China sedang membina satu sistem pengawasan besar-besaran yang meliputi domestik dan antarabangsa,” Balding memberitahu ABC.

Maklumat yang dikumpulkan merangkumi tarikh lahir, alamat, status perkahwinan, foto, penglibatan politik, ahli keluarga, ID media sosial dan maklumat lain yang terdapat dalam media sosial.

Walaupun kebanyakan maklumat diambil daripada bahan terbuka, terdapat juga profil yang mengandungi maklumat yang sumbernya adalah daripada rekod sulit bank, permohonan pekerjaan dan profil psikologi yang mungkin diambil daripada “dark web”.

Kebocoran maklumat ini menunjukkan wujudnya operasi global yang kompleks yang menggunakan kecerdasan bantuan (AI) untuk mencuri maklumat terbuka untuk menghasilkan profil individu dan organisasi yang boleh digunakan untuk menaksir peluang kompromi.

Zhenhua bermegah mengenai 20 “nod pengumpulan” yang terdapat di seluruh dunia, dengan 2 daripadanya dikesan di Kansas, AS dan Seoul, ibu negara Korea Selatan.

 

Sumber: freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *