Oleh: Editorial Penggerak Daily
Mutakhir ini, viral isu salah laku dan rasuah dalam kalangan PBT susulan kes kedai judi di Sunga Buloh.
Dalam usaha menyelesaikan masalah ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan sistem penggiliran penempatan antara pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Perkara ini masih di peringkat perbincangan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerajaan negeri dan garis panduan bagi sistem itu dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini”, kata Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin.
“(Sistem ini) boleh bantu meningkatkan prestasi dan pengalaman mereka (pegawai PBT) malah dapat mendedahkan mereka dengan pengalaman serta ilmu baharu,”
Zuraida mengulas isu berkaitan beberapa pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat kegiatan rasuah berhubung premis perniagaan dijalankan tanpa lesen di Sungai Buloh.
Mengenai kerja-kerja meroboh infrastruktur haram di sekitar Sungai Buloh, Zuraida berkata MBSA akan menempatkan semula peniaga yang terjejas susulan operasi tersebut di 24 lot premis perniagaan yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
“Bagaimanapun saya difahamkan ada 80 peniaga, jadi 24 lot ini adalah berdasarkan angka yang mereka (pihak MBSA) ada pada awalnya. Jadi yang selebihnya, kami akan buat satu tempat sementara untuk mereka berniaga sekiranya mereka berminat.
Sumber: Sinar Harian