ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menuntut mana-mana individu yang terlibat dalam insiden kehilangan Batu Puteh kepada Singapura dibawa ke muka pengadilan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya mewakili rakyat Johor menzahirkan rasa penuh dukacita atas pengkhianatan yang telah berlaku.
Sehubungan itu katanya, setiap individu terlibat mesti diheret ke muka pengadilan dan dihakimi oleh perundangan negara di atas pengkhianatan berkenaan.
“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 5 Disember 2024 berhubung pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan tindakan kerajaan persekutuan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2018.
“Tindakan itu dibuat meskipun wujud bukti-bukti baharu yang mengukuhkan tuntutan Malaysia, malah mematahkan alasan penghakiman (ICJ) tahun 2008 yang memihak kepada Singapura.
“Antara bukti yang menyokong termasuklah pengiktirafan Hakim Majoriti ICJ bahawa Malaysia melalui Kesultanan Johor telah mempunyai hak milik ke atas pulau-pulau di Selat Singapura termasuk Batu Puteh sejak kurun ke-17; pengiktirafan Hakim Majoriti ICJ bahawa hak milik Batu Puteh di bawah Kesultanan Johor terus kekal merentasi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Perjanjian Crawfurd 1824 hingga akhir 1840-an serta dokumen rasmi Kerajaan British dari tahun 1950 – 1960an yang sendiri mengiktiraf Batu Puteh sebagai kawasan di dalam perairan Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, keputusan penarikan permohonan semakan dan tafsiran terhadap membatalkan keputusan ICJ telah dibuat secara sengaja dan tanpa asas munasabah.
“Langkah itu bertentangan dengan fakta sejarah dan nasihat perundangan, malah membelakangi Jemaah Menteri dengan membuat keputusan secara sepihak.
“Dengan tidak meneruskan permohonan tuntutan Malaysia terhadap kes Batu Puteh, maka tercatatlah titik paling hitam dalam lembaran sejarah Malaysia dan Johor di mana kita kehilangan peluang mendapatkan kembali wilayah jajahan Kesultanan Johor.
“Segala hak yang berbaki untuk menuntut kedaulatan ke atas Batu Puteh kini luput dan terlucut buat selama-lamanya,” katanya sambil menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri Johor dan Malaysia.
Tambah beliau, pihaknya turut mengingatkan agar tidak ada pihak yang memutarbelitkan isu ini sehingga mengancam kedaulatan negeri dan negara.
Pada 6 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendedahan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan membuktikan wujud pengkhianatan besar kepada negara.
Beliau dilaporkan berkata proses undang-undang bagi menyiasat semula perkara itu harus dihormati semua pihak.
Sebelum ini, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr. Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ.
Penggerak Daily