JOHOR BAHRU: Keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan tarif elektrik membabitkan lebih sembilan juta pengguna domestik di negara ini merupakan bukti kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan tersebut bukan langkah mudah kerana kerajaan terpaksalah menanggung kos subsidi.
Katanya, keputusan kerajaan juga kerana merasa terkesan dengan situasi semasa rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, selain bencana banjir baru-baru ini.
“Selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pengesyoran bagi menaikkan tarif melibatkan pengguna domestik berikutan kenaikan harga bahan api, kabinet telah mengadakan enam perbincangan yang membawa kepada keputusan bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik.
“Kita kena tengok pelbagai sudut, pemegang saham, kedayahidupan TNB itu sendiri, tetapi setelah berbincang panjang lebar jemaah menteri dibawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan tidak boleh dinaikkan tarif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program temubual bersama radio Johor.fm di pejabat RTM Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, keputusan tidak menaikkan tarif elektrik bukan bermakna tiada kenaikan, tetapi sebaliknya kerajaan perlu meneruskan subsidi dengan kenaikan kos ditanggung kerajaan, bukan pengguna.
“Apabila tidak naik ertinya kerajaan perlu ambil satu duit lain, dana lain untuk memberikan subsidi supaya TNB kekal sebagai satu penjana mampu bertahan, jangan pula dia bankrup dan sebagainya,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri menerusi satu ciapan di akaun Twitter beliau memaklumkan kerajaan telah memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik melibatkan lebih sembilan juta pengguna domestik.
Beliau dilaporkan berkata, kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi elektrik sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna domestik tidak terkesan.
Penggerak Daily