JOHOR BAHRU: Ahli keluarga kepada suspek utama yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi Jumaat lalu menjalani kehidupan normal seperti individu lain.
Bagaimanapun, Ketua Kampung Sungai Tiram, Muhamad Mohamed Som, 66, memberitahu, keluarga berkenan kurang bergaul dengan masyarakat setempat.
Katanya, walaupun berasal dari kawasan itu dan telah menjadi Ketua Kampung sejak lebih setahun lalu, beliau sendiri kurang mengenali keluarga berkenaan.
“Mereka tinggal di kawasan tanah persendirian. Terdapat kira-kira 10 buah rumah di kawasan berkenaan dan dipercayai dihuni ahli keluarga dan saudara mara mereka sendiri.
“Ada juga saya sampaikan bantuan sumbang makanan dan sebagainya, tetapi hanya melibatkan rumah di kawasan hadapan kediaman persendirian berkenaan, saya sendiri tidak pernah masuk sehingga dalam.
“Tetapi setahu saya, ada antara ahli keluarga mereka yang bersekolah dan bekerja seperti orang lain, cuma mungkin mereka lebih gemar menyendiri dan kurang bergaul dalam komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia / Kosmo!.
Tambah Muhamad, dianggarkan seramai 7,000 penduduk menghuni kampung berkenaan dan keluarga itu merupakan sebahagian daripadanya.
“Mereka memang telah lama menetap di sini, sejak saya masih kecil lagi keluarga mereka juga sudah menetap di sini,” ujarnya.
Semalam, jenazah suspek lelaki yang berusia 21 tahun itu selamat dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, di sini.
Jumaat lalu, dua anggota polis maut selepas Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang individu bersenjatakan parang. Suspek turut merampas senjata api anggota polis yang dibunuhnya.
Serangan itu turut mencederakan seorang lagi anggota polis, sebelum suspek berjaya dibunuh tidak lama kemudian.
Sabtu lalu, polis menahan seramai tujuh individu termasuk bapa kepada penyerang. Kesemua mereka dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula 18 Mei bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily