PASIR GUDANG: Tempoh pandemik Covid-19 tidak menghalang seorang suri rumah untuk menzahirkan perasaan cintanya terhadap negara sempena sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-64, tahun ini.
Juriah Abdullah, 49, memberitahu, sudah menjadi kelazimannya dan keluarga menghias kediaman mereka di Taman Scientex di sini dengan ratusan Jalur Gemilang, sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, pada tahun ini, keluarganya memasang 500 Jalur Gemilang pelbagai saiz, tambahan 100 berbanding sambutan dilakukan mereka tahun lalu.
“Namun tahun ini cabaran untuk mendapatkan jumlah bendera itu agak besar sedikit apabila banyak kedai yang kehabisan stok bendera.
“Kami naik turun beberapa kedai bagi mendapatkan Jalur Gemilang sebelum mulakan aktiviti menghiasi rumah dengan bendera berkenaan.
“Ketika memasang bendera, tidak sangka cuaca berubah termasuk kerap gerimis hingga hujan lebat, namun kami meneruskan aktiviti memasang bendera,” katanya.
Juriah berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Haryati Ismail di rumahnya pada Jumaat.
Penggerak Daily