Oleh: Ahmad Roi
Selepas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim umumkan dia mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu, drama politik Malaysia panas semula.
Pelbagai teka-teki muncul. Berjayakah Anwar buat jadi Perdana Menteri, sebuah jawatan paling liat untuk seorang Anwar Ibrahim? Atau, apa ‘deal’ Anwar sampai dia berani lakukan gerakan berani mati – kalau gerakan ini tak menjadi, Anwar hanya dikenang sebagai PM tepi dalam sejarah politik Malaysia.
Dalam tempoh berteka-teki, penyokong Anwar buat kerja. Bermacam-macam kejayaan Anwar dikisahkan. Sisi heroik Anwar perlu ditonjolkan, masyarakat perlu tahu kehandalan bakal PM mereka.
Dalam facebook, Amin Ahmad menceritakan betapa ‘power’nya Anwar ketika menggerakkan Yayasan Anda dan ketokohannya dalam Majlis Belia Malaysia. Ada juga cerita tentang Anwar ‘fly’ asrama bagi nampak sisi ‘bad boy’ tokoh tersebut agar lebih cool dan dekat dengan anak muda.
Dalam twitter, ramai yang kongsi kecanggihan Anwar Ibrahim menggunakan perkataan ‘wewenang’ di sidang media. Kata netizen, kalau tak cukup ilmu di dada, tak senang guna kata wewenang. Dahsyat!
‘Terer’ Anwar jadi viral. Mana ada ahli politik yang boleh petik nama-nama ‘philosopher’ – Poulo Freire, Fukuyama, Arkoun – macam makan kacang.
Tapi, bila Anwar umum dia ada bilangan bentuk kerajaan baharu, macam-macam jenaka parodi gelakkan tindakan Anwar. Ada gambar Anwar berkhemah depan istana. Ada berita parodi ‘Esok, Anwar Ibrahim angkat sampah”.
Bukan sikit anak muda di media sosial jenakakan Anwar, malahan lawak “p.m dan a.m” pun sangat dekat dengan Anwar Ibrahim.
Oklah, mungkin menganjing tindakan Anwar ini dilakukan oleh musuh politiknya di media sosial. Tapi, tinjauan rambang Roi dengan anak muda setempat mengenai cerita Anwar nak jadi PM, masing-masing ketawa sedangkan Roi tanya dengan serius.
Roi bingung, macam mana tokoh reformasi sehandal Anwar Ibrahim tidak dipandang hebat oleh anak muda zaman ini?
Pemerhatian awal Roi begini..
Kalau zaman Reformasi 98 membawa sekitar tahun 2008, menjadi liberal, moden, feminis rebel ala-ala Simone de Bevouir sangat kool. Tahun 98 di Malaysia bagaikan era 68 di Perancis, budaya perlawanan yang meresap dalam ideologi dan seni.
Tempoh itu, Anwar kelihatan lagi terer bila bercakap naratif-naratif besar dan radikal. Berdiri roma anak universiti bila Anwar selitkan Franz Fanon dalam ucapannya.
Tapi, fenomena menjunjung tinggi moden liberal ini tak lama. Proses globalisasi bergerak membawa generasi Z ke satu keadaan, pascamoden.
Dalam teori pascamoden, naratif besar telah runtuh. Tindakan heroik dilihat kelakar. Nilai yang bersifat idealis seperti kebebasan, keadilan, feminisme, humanisme, kesamarataan gender dll sudah tidak laku.
Moden liberal yang bersifat eurosentrik (kebaratan) telah ditolak, digantikan dengan nilai dan budaya setempat. Dalam konteks Malaysia, budaya setempat itu adalah Melayu.
Tapi jangan silap, konsep Melayu yang menjadi wacana anak zaman 2020 tidak terikat dengan UMNO atau terbatas kepada konsep kaum, namun konsep melayu direnung sebagai sains tradisi masyarakat tanah ini sebelum kedatangan British.
Perubahan daripada kebaratan kepada kearifan tempatan (local wisdom) ini tidak hanya berlaku dalam pandangan politik, malahan dalam semua ruang budaya masyarakat seperti munculnya hipster café
berkonsepkan ‘vintage’ menggantikan café moden seperti Starbucks.
Jadi, anak muda yang sudah ‘beyond’ dengan nilai moden liberal tidak akan teruja dengan ‘Franz Fanon’ dan ‘Wewenang’ Anwar Ibrahim.
Apatah lagi rakan sekutu PKR, DAP yang dilihat sebagai parti yang tidak memahami budaya kearifan tempatan tanah ini membuatkan anak muda zaman ini khususnya melayu tidak ghairah dengan Anwar Ibrahim, PKR dan PH.
Jadi, masuk akal juga bila Mahathir menolak Anwar Ibrahim daripada calon Perdana Menteri kerana tidak mempunyai sokongan orang melayu.
PenggerakDaily
*Artikel berikut tidak semestinya mencerminkan pendirian PenggerakDaily
Krediti foto: Rasfan Mohd/SEA Globe