Oleh: Nami Cob Nobbler
Manusia mula bercucuk tanam dalam lebih kurang 12,000 tahun yang lalu, menerusi apa yang dipanggil Revolusi Neolitik. Sebelum itu, manusia hanya memburu haiwan dan memetik buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan liar.
Pemanasan global selepas Zaman Ais, dipanggil Holocene, dan akibat itu banyak glasier mencair, menyebabkan manusia mula tertumpu di kawasan sungai untuk bercucuk tanam.
Petempatan ini mula berkembang pesat apabila penduduk mula bertambah, dan akibat daripada itu, terbinalah kota-kota yang besar di tebing sungai.
Tamadun Mesopotamia di tebing Sungai Tigris dan Euphrates, Tamadun Mesir di Sungai Nil, Mohenjo Daro di Sungai Indus, dan tamadun awal China terbina di Sungai Huang He.
Apabila makanan yang dihasilkan lebih banyak daripada penduduk, maka penduduk yang lain bolehlah lakukan pekerjaan lain seperti mentadbir negara, membina bangunan, membuat pasu dan pinggan mangkuk, menjadi golongan artisan dan sasterawan, dan menjadi pedagang.
Semua ini tidak akan berlaku jika tidak ada pertanian.
Semasa Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dari 2003-2009, antara dasarnya yang aku suka ialah mahu mengembalikan pertanian sebagai satu dasar food security yang penting terhadap negara.
Pada ketika ini ramai anak muda memperlekehkan kenyataan Pak Lah ni dengan berkata, “penat-penat Mahathir nak buat industri, pahal pulak nak suruh rakyat bertani balik?”
Hakikatnya pertanian sudah beberapa kali menyelamatkan ekonomi negara. Contohnya semasa krisis ekonomi Asia 1997-98, permintaan kelapa sawit yang meningkat di China adalah punca krisis ekonomi kita tidak seserius seperti di Indonesia atau Thailand.
Dalam krisis ekonomi dunia 2008 pun, sementara ramai yang hilang pekerjaan, orang muda yang menceburi bidang pertanian dan menyahut seruan Pak Lah masih boleh rileks dan chill dengan pendapatan yang stabil.
Mungkin kelihatan tidak bergaya dan tak boleh bergaya macam bintang K-pop, sebab kerja bertani ni kena bergelumang dengan lumpur, tanah, kena tengok ulat, atau halau makhluk perosak seperti serangga, atau makhluk macam monyet atau babi hutan.
Tapi walau macam mana teruk ekonomi, semua orang perlu makan. Dengan bertani, kita dapat mengurangkan kos import makanan yang tinggi.
Masa tahun 2004 aku pernah dengar dari laporan berita masa tu, kita mengimport cili merah dari Thailand sejumlah RM200 juta pada masa tu.
Kau bayangkan, itu baru cili merah, belum lagi sayur-sayuran yang lain. Belum lagi beras yang sememangnya kita bergantung sangat dengan Thailand.
Cuba kalau Thailand naikkan harga import beras, kita pun terpaksa naikkan harga beras, atau kerajaan terpaksa topup subsidi untuk memastikan harga beras masih mampu milik.
Akibatnya, banyak lagi perbelanjaan lain seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya ataupun utiliti seperti air dan elektrik tak mampu untuk dibekalkan.
Orang selalu memuji Jacinda Ardern sebagai Perdana Menteri New Zealand wanita millennial yang bagi macam-macam benefit kepada rakyat.
Tapi dengan penduduk 5 juta penduduk tapi mempunyai begitu banyak kawasan pertanian seperti penternakan lembu, dengan mengeluarkan 2.2% susu lembu dunia, menjadikan NZ sebagai pengeluar ke-8 terbesar dunia.
New Zealand juga merupakan pengeluar buah-buahan serta perikanan antara yang terbesar di rantau Pasifik.
Dengan penduduk 5 juta orang tapi macam-macam hasil pertanian, sebab itu penduduknya boleh dapat macam-macam benefit.
Melihat pada ini, sifat memperlekehkan pertanian ni adalah sifat yang menyusahkan negara sebenarnya.
Kalau kita perhatikan, Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia tu pun banyak menguasai pertanian dunia. Pengeluar jagung, gandum, barli, daging, tenusu dan kacang soya terbesar dunia, berkat Lembangan Sungai Mississippi, iaitu lembangan sungai paling subur di dunia serta mempunyai jalur sungai yang bersatu di St Louis, Missouri mengakibatkan pertanian mereka tersangatlah maju dan besar.
China juga pengeluar kentang, penternak ayam, serta sayur-sayuran terbesar dunia. Jadi, walaupun kita dah hampir 200-300 tahun sejak Revolusi Perindustrian, namun pertanian masih lagi penting.
Siapa cakap pertanian tu tak penting, cuba dia tengok makanan dalam pinggannya. Beras tu dari mana datang, ayam tu dari mana datang, begitu juga dengan cili, kunyit, lada hitam, bawang, bawang putih, halia, daun kari dan macam-macam lagi.
Kalau kita berfikir tidak hanya makan bila menghadap rezeki, kita akan sedar pentingnya sektor ini dan betapa besar nikmat Tuhan turunkan bagi mereka yang mesra dengan tanah.
PenggerakDaily
Gambar: Lukisan Sundha Sharma bertajuk “Farmer thinking of future”.
*Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Penggerak Daily