Semua pergerakan kenderaan perdagangan dibenarkan keluar dan masuk merentasi mana-mana pintu sempadan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 14 hingga 27 Oktober ini.
Mereka tidak perlu perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) selagi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi termasuk memiliki pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan masing-masing.
“Sebagai contoh, kenderaan perdagangan dari Selangor dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke Negeri Sembilan dan kembali semula ke Selangor tanpa kebenaran PDRM, selagi mereka memiliki pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan masing-masing,” kata satu kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong semalam.
Sebelum itu, PKPB diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menyatakan semua aktiviti perniagaan, ekonomi dan industri adalah dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa.
Sumber: MalaysiaGazette