Categories
Berita Politik

KEPUTUSAN UMNO DILAKUKAN SECARA “EN BLOC” – NAJIB RAZAK

Keputusan muktamad berhubung dengan kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Agong menolak darurat akan diputuskan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini dan apa sahaja keputusannya akan dilakukan parti itu secara “en bloc”, kata Najib Razak.

Najib yang juga pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, mesyuarat ahli-ahli Parlimen gabungan itu sebentar tadi tidak membuat apa-apa keputusan.

“Keputusan muktamad akan dibuat MT malam ni. Hari ini kita sekadar buat percambahan fikiran, dengar pandangan ahli-ahli Parlimen. Dan sebagai ahli parti kita tertakluk pada keputusan parti dan kita pegang prinsip,” kata bekas perdana menteri itu kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas selesai mesyuarat.

“Mesti bertindak sebagai satu blok. Ini satu daripada pandangan yang boleh dikatakan didokong oleh semua pihak.”

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur sebentar tadi berlangsung selama tiga jam diadakan untuk membincangkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Yang di Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

Dalam kenyataan semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata keputusan itu diambil selepas memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi negara, merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Baginda turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.”

Sumber: MalaysiaNow

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *