JOHOR BAHRU: Isu penderaan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) sindrom down yang dikenali sebagai Bella dan sedang dibicarakan di Mahkamah kini turut mendapat perhatian Istana Johor.
Isteri kepada Tunku Mahkota Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam berkenan bersuara berhubung kes berkenaan dan turut berjanji akan melakukan sedaya upaya untuk membantu mangsa dera tersebut.
“Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella. Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya.
“Kamu boleh bersembunyi di sebalik barisan peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat,” tulisnya di laman Instagram miliknya.
Isteri kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu memuatnaik kenyataan tersebut dipercayai sebagai membalas tindakan salah seorang peguam tertuduh iaitu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang memuat naik sekeping gambar bersama-sama tertuduh dan barisan peguam yang membelanya.
Tambah Khaleeda lagi, kes berkenaan pasti akan menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang pengecut agar tidak terfikir untuk melakukan tindakan serupa pada masa depan.
Perbicaraan kes berkenaan turut mendapat perhatian dan menjadi perdebatan bagi rakyat Malaysia yang melihat seolah-olah nasib Bella seperti tidak diperjuangkan sedangkan kanak-kanak berusia 13 tahun itu merupakan seorang OKU dan telah menerima penganiayaan.
Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Penggerak Daily