JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek tahun depan dalam usaha memberikan manfaat kepada penduduk Johor, tahun depan.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, antara fokus itu termasuklah meningkatkan kualiti hidup, pendidikan, peluang pekerjaan serta penambahbaikan infrastruktur.
“Saya amat bersyukur untuk tahun 2024. Tahun ini telah menjadi tahun yang penuh rahmat dengan pelbagai pencapaian untuk pembangunan Johor daripada segi infrastruktur, ekonomi dan hubungan antarabangsa.
“Tidak ketinggalan juga perkembangan positif untuk belia Johor, pendidikan, Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan sukan,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini.
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah, baginda berterima kasih atas pengajaran dan pengalaman yang diperoleh tahun ini.
“Saya berharap dengan segala perubahan positif dalam setiap aspek akan berlaku pada tahun depan,” titahnya lanjut.
Pada 21 November lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan perbelanjaan Belanjawan Johor 2025 adalah sebanyak RM1.999 bilion.
“Daripada jumlah berkenaan, RM1.271 bilion diperuntukkan bagi tujuan Belanja Mengurus manakala RM728 juta pula diperuntukkan bagi tujuan Belanja Pembangunan.
“Belanjawan Johor 2025 ini digubal dengan berpegang kepada prinsip bahawa segala perancangan dan pelaksanaan adalah demi kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor,” jelasnya.
Penggerak Daily