Oleh: Editorial Penggerak Daily
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan sedang memperhalusi tempoh dan kaedah untuk melaksanakan cukai pengosongan terhadap pemaju perumahan.
Kata Zuraida, cadangan ini bertujuan mengelakkan lambakan projek yang sudah siap dibina tapi terbiar tanpa pembeli sehingga rosak dan menjadi mangsa vandalisme.
“Setiap pemaju perlu membuat perancangan teliti bagi memastikan tiada masalah selepas projek siap kerana memastikan perumahan yang sudah siap dijual dan dihuni segera merupakan tanggungjawab pemaju”,
“Kementerian sedang memperhalusi cadangan itu kerana pemaju tidak boleh sesuka hati mendirikan rumah tanpa perancangan teliti,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan cukai berkenaan akan dilaksanakan tahun depan.
“Namun, kerajaan perlu membuat beberapa penelitian dari aspek undang-undang serta mengkaji rumah terbengkalai walaupun separa atau siap sepenuhnya”, katanya ketika menjawab soalan ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada cukai itu yang sudah diguna pakai di beberapa bandar raya utama dunia akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan di negara ini.
PenggerakDaily