JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta untuk mengambil tindakan segera berhubung isu penggunaan kalimah Allah di stoking bagi memastikan tiada perpecahan antara kaum atau agama di negara ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sehubungan itu berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi perhatian lebih berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, rakyat menuntut pemimpin negara yang mempunyai bidang kuasa dalam soal itu bertindak tegas mengikut undang-undang negara.
“Bertindaklah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri segera sekarang sebelum terlambat. Hari ini satu lagi pasar mini KK Mart diserang dengan bom api di Kuantan. Ini kejadian kedua selepas kejadian pertama serangan terhadap KK Mart di Bidor, Perak.
“Saya menyeru supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mententeramkan keadaan sebelum menjadi tidak terkawal.
“Yang di-Pertuan Agong telah bersuara, Sultan Perak telah bersuara, Ketua Polis Negara juga telah bersuara. Mereka semua telah memberi nasihat dan panduan agar ancaman ketegangan kaum dan agama diredakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kontroversi berhubung isu itu bermula pada 13 Mac lalu apabila tular sekeping gambar menunjukkan kalimah Allah tertera di stoking yang dijual kedai serbaneka KK Mart Bandar Sunway.
Isu tersebut mendapati perhatian ramai pihak sehingga Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita selain turut tindakan tegas diambil kepada individu bertanggungjawab.
Penggerak Daily