Categories
Berita Budaya Business Ekonomi

KERJASAMA MOTAC DAN MPB MAMPU PROMOSIKAN PELANCONGAN NEGARA

Oleh: Editorial Penggerak Daily

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri  percaya kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan platform dalam kumpulan Media Prima Berhad (MPB) mampu membantu mempromosikan produk pelancongan di negara ini.

“Saya melihat potensi kerjasama antara kementerian dengan MPB sebagai satu kerjasama yang amat positif. Melalui perbincangan tadi, kita dapat membincangkan perkara baharu yang boleh menjadi produk pelancongan.

“Saya percaya, dengan platform yang ada dalam MPB ini boleh membantu kita di kementerian menambah lagi produk pelancongan dan pada masa sama, orang ramai terutama rakyat Malaysia boleh pergi ke banyak tempat serta menyaksikan produk baharu.

“Justeru, mereka tidak akan dibiarkan bosan duduk di rumah. Saya melihat potensi kerjasama ini,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat di pejabatnya di kementerian, petang tadi.

Nancy berkata, dalam pertemuan itu juga, beliau berkongsi pengalaman kementeriannya membantu mereka yang terbabit dengan industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan yang terjejas ketika ini, termasuk melalui E-Kraf Bazar serta kunjungan terhadap penggiat seni bagi membantu meringankan beban mereka.

Katanya, industri pelancongan bukan hanya membabitkan tempat pelancongan saja sebaliknya ia juga membabitkan individu yang terkesan dalam industri berkenaan seperti mereka yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan, penginapan, peruncitan, muzik serta seni dan budaya.

Beliau berkata, dalam membantu pihak terjejas itu, kementeriannya mengadakan perbincangan dengan mereka untuk mencari penyelesaian dalam merancakkan semula sektor pelancongan negara, sekali gus membantu untuk mereka meneruskan hidup.

 

Sumber: Berita Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *