JOHOR BAHRU: Pengguna Lebuhraya Pasir Gudang di sini memohon kerajaan negeri untuk memastikan keselamatan mereka khususnya ketika melalui jalan berkenaan pada waktu malam kerana lampu jalan telah rosak.
Ketua Kampung Teluk Serdang, Zaaba Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima banyak rungutan berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, kerosakan lampu jalan itu menyukarkan pengguna untuk memastikan keadaan permukaan jalan pada waktu malam.
“Keadaan itu amat membahayakan pengguna. Saya sendiri telah banyak menerima aduan dan rungutan penduduk berhubung perkara ini.
“Sehubungan itu saya meminta pihak berwajib untuk melakukan penyelenggaraan bagi memastikan lampu jalan ini kembali berfungsi.
“Saya juga berharap pemantauan berterusan dapat dibuat bagi memastikan tiada berlaku jenayah kecurian kabel di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Cheo Yee How memberitahu, pihaknya telah mengutarakan permasalahan itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana laluan berkenaan dibawah seliaan jabatan itu.
“Jalan ini dikategorikan sebagai lebuh raya, jadi apabila berlaku kerosakan terhadap lampu jalan, ia memang amat membahayakan pengguna.
“Pemerhatian kita mendapati banyak litar elektrik dan penutup tiang lampu telah dirosakkan, kami syak ini perbuatan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri kabel litar berkenaan sehingga menyebabkan berlaku kerosakan pada lampu,” tambahnya.
Penggerak Daily