JOHOR BAHRU: Yayasan Johor Corporation (JCorp) mahu menjadikan pusat komersial B5 Johor Street Market sebagai hab aktiviti kitar semula khususnya melalui pengenalan perkhidmatan kitar semula secara pandu lalu.
Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd. Sani berkata, inisiatif itu merupakan satu langkah proaktif diambil agensi berkenaan dalam menyokong hasrat kerajaan mencapai kadar 40 peratus kitar semula kebangsaan, tahun depan.
Menurut beliau, inisiatif sedemikian telah dilaksanakan secara dalaman terlebih dahulu melibatkan kakitangan Yayasan JCorp sendiri.
“Hab kitar semula @B5 Johor Street Market ini merupakan lanjutan kepada usaha Yayasan JCorp dalam membudayakan amalan sifar sisa melalui kitar semula secara pandu lalu. Kini usaha ini dikembangkan lagi melalui penglibatan masyarakat khususnya di kawasan bandar raya ini.
“Melalui inisiatif ini, kita yakin untuk menjadikan B5 Johor Street Market sebagai pusat komersial yang terkenal dalam kalangan penduduk sebagai lokasi kelestarian alam sekitar. Pemilihan lokasi ini adalah kerana ia strategik dan terletak di tengah-tengah kepadatan penduduk Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran Hab Kitar Semula dan Kitar Semula Pandu Lalu di B5 Johor Street Market, di sini hari ini. Turut hadir, Datuk Bandar, Datuk Mohd. Noorazam Osman.
Sementara itu, Mohd. Noorazam turut menggalakkan masyarakat khususnya penduduk Johor Bahru untuk bergiat aktif dalam inisiatif kitar semula sebagai salah satu aspek kelestarian alam.
“Sebagai contoh, minyak masak yang telah diguna boleh dikumpul dan dihantar untuk kitar semula. Usaha ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembuangan minyak masak terpakai, malah turut dapat meningkatkan pendapatan individu yang melakukan kitar semula.
“Aspek kitar semula dengan ganjaran ini perlu diperkasa dalam memastikan kelestarian kehidupan kita di bandar raya ini menjadi lebih mampan dan selamat untuk tempoh masa panjang,” jelasnya.
Penggerak Daily