ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan kekecewaannya terhadap taraf dan kualiti perkhidmatan kesihatan awam yang diberikan kepada orang ramai di Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, di sini.
Menurut beliau, infrastruktur sedia ada di klinik kesihatan tersebut tidak dapat menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat di kawasan sekitar.
“Saya berasa amat sedih dan kecewa melihat keadaan yang sangat daif di KK Gelang Patah.
“Antara isu yang diutarakan termasuklah ruang klinik yang sesak dan sempit; fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang telah usang dan rosak; parkir kenderaan terhad dan tidak tersusun selain kekurangan aset seperti mesin ultrasound dan komputer,” katanya selepas melawat KK tersebut, di sini.
Tambah beliau, purata pengunjung di klinik kesihatan itu adalah seramai lebih 800 orang sehari manakala infrastruktur sedia ada tidak mampu menampung populasi hampir 100,000 penduduk di kawasan Iskandar Puteri.
“Kerajaan Negeri akan membantu sedaya mungkin bagi mengatasi isu tersebut termasuklah melihat cadangan pembinaan sebuah KK baharu di kawasan Iskandar Puteri.
“Saya sedar dan insaf masih banyak perlu dilakukan bagi mempertingkat kualiti fasiliti kesihatan di negeri Johor. Dengan kerjasama, usaha dan sokongan semua pihak, apa yang direncanakan mampu direalisasikan,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily