Kementerian Kesihatan (KKM) akan melantik secara kontrak seramai 1,899 petugas kesihatan tambahan bagi menyokong perkhidmatan kesihatan dalam tempoh penularan wabak Covid-19.
Antara petugas kesihatan tersebut adalah pegawai penyelidik jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu tadbir (perkeranian/ operasi dan kewangan).
Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di fasiliti kesihatan seperti di hospital, klinik kesihatan, makmal, pejabat kesihatan daerah dan pusat kesiapsiagaan dan tindak cepat krisis (CPRC).
Selain itu mereka juga akan ditempatkan di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara dan di pintu-pintu masuk antarabangsa seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata lantikan itu selaras dengan persetujuan kerajaan agar kementerian kesihatan menambah petugas kesihatan kepada sejumlah 2,000 lantikan secara kontrak seperti yang diluluskan oleh kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini.
Bagaimanapun Adham dalam kenyataannya tidak menyatakan tempoh atau jangka masa kontrak berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam menentang wabak Covid-19 di Sabah kini mencapai tahap kritikal.
KKM baru-baru ini menghantar kakitangan perubatan dari negeri-negeri lain untuk membantu petugas barisan hadapan di Sabah.
Sumber: Malaysiakini