Oleh: Editorial Penggerak Daily
Sempena meraikan bulan kemerdekaan, NGO Penggerak Komuniti Negara bersama-sama beberapa Lembaga Swadaya Masyarakat yang lain seperti Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara akan menganjurkan Kongres Negara pada 22 Ogos ini di MITEC, Kuala Lumpur.
Ketua Sekretariat Penganjuran Kongres Negara, Hilman Idham berkata, “dengan tema ‘Bersatu untuk Malaysia’, kongres ini akan menghimpunkan para perwakilan dan pemerhati Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, NOW dan Penggerak Wanita Muda Negara dari segenap pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak.”
Tambah ADUN Gombak Setia itu lagi, “objektif utama Kongres Negara adalah untuk menyemarak perpaduan dan kesatuan rakyat berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara”,
“Kongres Negara juga akan mengupas dan membahaskan usaha-usaha pembangunan bangsa, ekonomi dan negara selain mendukung kebijakan serta dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara”,
Kongres yang akan menghimpunkan pimpinan akar umbi dari pelbagai kaum ini akan turut dihadiri oleh beberapa pimpinan politik seperti Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan & Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; YB Hajjah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; dan YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Bagi menjamin keselamatan dan kesihatan para perwakilan dan pemerhati, Kongres Negara akan dilaksanakan di beberapa buah Dewan Kongres di MITEC termasuk pelaksanaan SOP yang tegas oleh pihak penganjur.
PenggerakDaily