JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah mengeluarkan 22 notis bertulis kepada syarikatnya yang dipercayai menaikkan harga barangan atau perkhidmatan ekoran pelarasan harga runcit diesel.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, 20 notis bertulis dikeluarkan menerusi pemeriksaan yang dijalankan penguatkuasaannya, manakala dua lagi notis bertulis dikeluarkan berdasarkan aduan awam yang diterima.
Menurut beliau, majoriti syarikat yang terlibat berada dalam sektor pengangkutan, termasuk syarikat perkhidmatan tunda kenderaan.
“Syarikat-syarikat ini tidak termasuk dalam kategori penerima subsidi diesel sejak dahulu lagi. Jadi apabila mereka menyatakan akan ada kenaikan harga disebabkan pelarasan harga runcit diesel, itu menimbulkan persoalan.
“Notis bertulis ini bertujuan untuk memastikan tiada elemen pencatutan ke atas harga diesel dan caj perkhidmatan yang dilakukan sebelum dan selepas penyasaran subsidi diesel,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan bekalan dan harga barangan di pasar raya KipMall Tampoi, di sini hari ini.
Tambah Lilis, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana syarikat yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga jualan barangan atau perkhidmatan disediakan mereka disebabkan inisiatif dilakukan kerajaan tersebut.
“Mana-mana pihak yang memanipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011 (Akta 723).
“Kita juga alu-alukan aduan daripada pengguna sekiranya mereka mendapati terdapat kenaikan harga yang meragukan dan tidak munasabah oleh mana-mana pihak atau syarikat,” jelasnya lanjut.
Bermula 10 Jun lepas, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 per liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.
Ekoran itu, beberapa sektor termasuk pengangkutan dan pembinaan mendakwa terpaksa menaikkan kos ekoran perlu menampung kenaikan harga diesel yang digunakan jentera-jentera pembinaan.
Penggerak Daily