JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah merampas 33,890 unit bahan bakeri, plastik pembungkusan serta dokumen yang disyaki menggunakan logo halal palsu bernilai RM23,035.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan terhadap premis di Bandar Seri Alam, Masai, di sini itu dilakukan pihaknya, semalam.
Menurut beliau, operasi itu dianggotai seramai enam pegawai dan penguatkuasa KPDN Johor, beserta pegawai dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Operasi bersepadu ini dijalankan ekoran aduan awam yang diterima berhubung penggunaan logo halal tidak sah pada produk yang dibungkus sebuah syarikat.
“Hasil pemeriksaan, tindakan telah diambil di bawah Akta Perihal Dagangan, Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, sekiranya didapati bersalah, syarikat tersebut boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama atau tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua.
“Manakala bagi individu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, atau denda tidak lebih RM 250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berulang.
“KPDN Johor akan sentiasa menjalankan operasi untuk memastikan perniagaan-perniagaan mengikut undang-undang ditetapkan kerajaan,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily