JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor telah mengeluarkan 25 kompaun bernilai RM2,500 ke atas golongan peniaga sejak negeri ini beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga kelmarin.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, dalam tempoh sama pihaknya telah memeriksa 2,760 pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negeri.
Menurut beliau, 25 kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Timbang Sukat (ATS) 1972.
“Selain kompaun, KPDNHEP Johor turut mengeluarkan 30 notis kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Hairul Anuar turut memberitahu, pihaknya juga mengeluarkan 26 kompaun ke atas pesalah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), membabitkan nilai kompaun RM129,500.
“Jumlah itu direkodkan sejak pelaksanaan penguatkuasaan oleh KPDNHEP terhadap pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Mei tahun lalu sehingga kelmarin.
“Pemeriksaan dan pemantauan ini akan terus dipertingkat dalam tempoh Fasa 2 PPN bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas di pasaran mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.
“Kita juga konsisten dan bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan mengikut SOP supaya sektor ini tidak terjejas,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pihaknya maklum aduan berhubung kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian seperti barang basah dan segar terutama di lokasi tumpuan seperti sejak kebelakangan ini.
“Tindakan proaktif sudah diambil dengan mengumumkan harga kawalan bagi barangan yang mendapat permintaan tinggi ketika ini seperti Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 dan penetapan harga minyak masak jenis botol yang dijangka terus meningkat sekiranya tidak dikawal.
“Antara tindakan yang dikuatkuasakan mengikut AKHAP 2011 dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran adalah dengan mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga, dan memastikan penjualan barang pada harga terkawal.
“Selain itu, KPDNHEP Johor turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas barangan yang dijual,” jelasnya.
Terdahulu, Mohd. Hairul Anuar mengetuai proses pemantauan dan pemeriksaan yang diadakan di sekitar Pusat Perniagaan Bandar Baru Uda dan pusat beli-belah Angsana Johor Bahru di sini.
Penggerak Daily