JOHOR BAHRU: Hospital Pakar KPJ Puteri di sini mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan berupa pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan limau sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba pada 12 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Haliza Khalid berkata, meskipun terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP), pihak tetap meraikan kedatangan hari perayaan itu.
Menurutnya, sambutan itu bagaimanapun dibuat secara bersederhana sahaja.
“Tradisi sambutan ini diteruskan namun masih mematuhi SOP yang ditetapkan, cuma tiada sambutan perayaan besar-besaran dilakukan tetapi sekadar meraikan dengan mengagihkan limau dan sup cendawan yang memang menjadi tradisi kami di KPJ Puteri.
“Selain menghargai pelanggan, doktor-doktor dan anggota pekerja, jasa dan pengorbanan barisan hadapan yang menjaga keselamatan kita tidak dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Tambah beliau, selain disumbangkan kepada petugas barisan hadapan seperti anggota polis yang membuat kawalan di selatan jalan raya, pihaknya turut menghulurkan sumbangan kepada rumah penjagaan orang tua dan badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyuntik semangat perayaan.
“Sumbangan ini merupakan salah satu usaha KPJ membantu dalam menangani pandemik Covid-19. Ini juga adalah usaha berterusan KPJ dalam menghargai petugas barisan hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan hospital pakar berkenaan menawarkan kadar terendah bagi membuat saringan Covid kepada orang awam dan pihak korporat
“Walaupun terikat dengan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP), operasi hospital berjalan seperti biasa selain turut menawarkan konsultasi atas talian ‘Tele-Consultation’ dan perkhidmatan penghantaran ubat ke rumah ‘Med-Delivery’,” jelasnya lagi.
Penggerak Daily