JOHOR BAHRU: Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang menyantuni seramai 50 kanak-kanak kurang bernasib baik termasuk yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 sepanjang tempoh pandemik itu melanda negara ini sejak lebih dua tahun lalu.
Pengerusi Tabung Kebajikan Doktor-Doktor Pakar Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Dr. Nor Aizal Che Hamzah berkata, selain itu penerima termasuklah anak-anak yatim lain serta anak-anak kakitangan yang kurang bernasib baik.
Menurut beliau, persatuan itu memperuntukkan sejumlah RM10,000 untuk membelinya kelengkapan perayaan kanak-kanak terlibat dan juga sumbangan duit raya.
“Program ini dilaksana bertujuan untuk membantu kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik dalam menyediakan persiapan menjelang sambutan Perayaan Aidilfitri tahun ini, kerana kita sudah dua tahun tidak dapat merasai suasana meriah ini.
“Ianya dijayakan dengan menggunakan tabung hasil sumbangan doktor-doktor pakar dan petugas kesihatan yang memang menyumbang setiap bulan untuk kerja-kerja kebajikan.
“Selain program ini, kita turut menyediakan bakul makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, selain ketika sambutan perayaan pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Bangsa Johor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Tambah Dr. Nor Aizal, anak-anak yatim serta yang baharu kehilangan ibu bapa disebabkan Covid-19 lalu, pastinya akan merindui suasana membeli kelengkapan perayaan, jadi sedikit sebanyak program ini diharap dapat menceriakan mereka.
“Program tanggungjawab sosial korporat ini telah mula dilaksanakan sejak 2015 lalu, dan InshaAllah kita akan teruskan untuk masa-masa akan datang,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily