JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberikan lebih tumpuan terhadap aspek kewujudan ancaman haiwan liar dalam pelaksanaan sesebuah projek pembangunan perumahan baharu pada masa akan datang.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, hal itu kerana terdapat peningkatan laporan berhubung kehadiran haiwan liar seperti gajah di kawasan perumahan khususnya di luar bandar.
Menurut beliau, kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam aspek berkenaan.
“Banyak juga yang dibangkitkan akhir-akhir ini melibatkan haiwan liar yang masuk ke kawasan perumahan, jadi kita perlu bekerjasama dengan Perhilitan untuk mengelakkan musibah lebih besar atau kecederaan sama ada di pihak penduduk mahupun haiwan liar itu sendiri.
“Jadi di peringkat KPKT, isu ini sudah pasti akan dinilai dan pihak pemaju atau PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu memastikan agar ketetapan dibuat dipenuhi, selain itu pemantauan berterusan juga perlu diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan buah limau kepada orang awam sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Pelangi, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Andrew Chen Kah Eng.
Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video di media sosial memaparkan kehadiran haiwan liar seperti gajah di kawasan kediamannya penduduk di beberapa negeri antaranya di Johor, Pahang dan Kelantan.
Sementara itu, Akmal Nasrullah turut memberitahu, pihaknya sedang meneliti data dan statistik lebih terperinci yang telah dikumpulkan berhubung projek perumahan yang tergendala, sakit atau terbengkalai.
“Dalam tempoh sebulan pertama ini, saya telah kumpulkan data-data berhubung projek bermasalah, dan KPKT sedang berusaha sehabis baik untuk melakukan intervensi bagi projek-projek tersebut.
“Ini bagaimanapun mungkin mengambil sedikit masa kerana terdapat banyak projek sakit yang bukan sahaja melibatkan projek kerajaan tetapi juga pemaju swasta,” ujarnya.
Disember lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, kementeriannya akan mewujudkan pasukan petugas khas bagi menyelesaikan masalah 381 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai ‘sakit’.
Menurut beliau, KPKT memandang serius terhadap projek perumahan kategori sakit atau terbengkalai dan jawatankuasa itu ditubuhkan bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah di negara ini.
Penggerak Daily