JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalu-alukan cadangan kerajaan menerusi pengumuman Belanjawan 2021 untuk memperkenalkan semula skim rent-to-own (RTO) yang diilhamkan oleh KPKT sejak 2018 bagi membantu rakyat Malaysia berpendapatan pertengahan memiliki rumah mampu milik.
Menurut Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin, beliau percaya bahawa skim ini akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan pemilikan rumah di kalangan golongan berpendapatan pertengahan dengan nilai keseluruhan melebihi RM1 bilion yang dikhaskan untuk pembeli rumah pertama bagi unit-unit kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
“Dalam memenuhi mandat KPKT untuk menyediakan rumah mampu milik buat rakyat Malaysia yang berpendapatan pertengahan, PR1MA telah melalui proses transformasi untuk mengkaji dan mengubah model perniagaannya”, tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi PR1MA bagi memastikan ia kekal memacu agenda perumahan nasional. Langkah ini telah membolehkan PR1MA meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kewangannya dengan lebih berkesan”,
“Setakat 31 Oktober 2020, 62 projek PR1MA merangkumi 52,763 unit di seluruh negara telah diluluskan. Dari jumlah ini, 19,987 unit telah disiapkan, 25,356 unit sedang dalam pembinaan dan 7,420 sedang dalam perancangan. Selain itu, lebih daripada 26,000 unit telah terjual setakat ini”,
“KPKT akan mengumumkan butiran lanjut mengenai skim RTO setelah mengadakan perbincangan dengan institusi kewangan yang berkenaan”.
PenggerakDaily