JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta bagi pembinaan bangunan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh, Pasir Gudang dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, bangunan sementara itu akan dibina di kawasan berhampiran lokasi asal sekolah berkenaan, tidak lama lagi.
Menurut beliau, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pembinaan bangunan sementara itu akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, bagi membolehkan sesi persekolahan tahun depan dilakukan di premis berkenaan.
“Bangunan asal sekolah ini yang dibina menggunakan kayu telah ditutup sejak 30 Julai 2021. Langkah itu dibuat kerana ia tidak lagi sesuai dan selamat untuk murid dan guru.
“Sehubungan itu, seramai 95 murid-murid di SK Perigi Acheh telah dipindahkan ke SK Tanjong Langsat yang berjarak kira-kira 5 kilometer daripada kawasan kampung ini.
“Bagaimanapun, kesemua mereka beserta 12 orang guru akan kembali bersekolah di bangunan sementara ini pada sesi persekolahan tahun depan, bangunan sementara ini akan dilengkapi semua keperluan persekolahan murid-murid,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke sekolah berkenaan, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd. Hanafi Samad dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok.
Tambah Aznan, bangunan sementara SK Perigi Acheh akan dibina menggunakan ‘skeleton frame’ dan ‘simen board’ yang mempunyai daya ketahanan penggunaan lasak antara tujuh hingga sembilan tahun.
“Selain itu, kerajaan negeri juga sedang memohon peruntukan daripada KPM bagi pembinaan semula sekolah SK Perigi Acheh dibawah Rolling Plan ke-5 (RP5) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Bangunan sekolah sedia ada ini akan dirobohkan sepenuhnya agar pembinaan sekolah baharu yang kekal dapat dilakukan demi kesejahteraan murid-murid dan penduduk kampung ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM50,000 sebagai kos pengangkutan murid-murid sekolah berkenaan yang dipindahkan ke SK Tanjong Langsat.
“Peruntukan tersebut digunakan untuk menyewa bas yang akan membawa mereka ke sekolah berkenaan,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily