JOHOR BAHRU: Sempena sambutan Hari Krismas tahun ini, Gereja Immaculate Conception di sini hanya membenarkan seramai 200 penganut agama itu menghadiri upacara keagamaan sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu.
Paderi, Claurence Motoyou berkata, jumlah itu adalah 50 peratus daripada jumlah sebenar pengunjung yang mampu ditampung gereja ini.
“Krismas kali ni kita masih lagi menjalankan SOP ketat yang mana hanya 200 orang sahaja dibenarkan masuk pada satu masa ke dalam gereja, jika tanpa SOP, gereja ini boleh memuatkan seramai 400 orang.
“Kita juga sentiasa mengingatkan mereka untuk mengekalkan jarak satu meter di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Motoyou turut memberitahu, pihaknya turut mensanitasi rumah ibadat berkenaan setiap 30 minit bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan pengunjungnya.
Sementara itu, tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati jalan-jalan utama lengang namun majoriti masyarakat mengambil peluang cuti umum untuk mengunjungi pusat beli belah.
Namun begitu, SOP ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal tetap dipatuhi.
Dalam pada itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Krismas kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan tersebut.
“Merry Christmas. Wishing you a very happy and joyous Christmas. May your home be filled with love, peace and joy always,” titahnya dalam Bahasa Inggeris di laman Facebook rasmi baginda.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad turut mengucapkan selamat menyambut Hari Natal khusus buat semua penganut agama Kristian yang meraikannya.
“Sambutlah perayaan ini dengan penuh keharmonian dan kegembiraan. Patuhi SOP sentiasa walau di mana jua anda berada,” tulisnya dalam laman Facebook beliau.
Penggerak Daily