JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia menyambut baik saranan agar program pendidikan teknikal dan kemahiran (TVET) diajar kepada pelajar sekolah seawal tingkatan 1 bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bidang berkenaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, langkah tersebut dipercayai dapat membantu negara melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan berkepakaran tinggi pada depan.
Menurut beliau, langkah itu juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan sebanyak 35 peratus tenaga kerja adalah terdiri daripada bidang TVET menjelang 2030.
“Cadangan melaksanakan program TVET seawal tingkatan satu berbanding tingkatan empat ketika ini wajar untuk diperhalusi. Ini kerana pendedahan awal dalam bidang berkenaan akan membantu individu membuat pilihan kerjaya masa depan mereka.
“Cadangan itu bagaimana memerlukan perbincangan dan libat urus pelbagai kementerian dan pihak-pihak berkaitan khususnya Kementerian Pendidikan sebelum ianya dapat dilaksanakan.
“Saranan berhubung perkara itu kita sambut baik, ini kerana kerajaan juga sedang mempromosikan bidang TVET sebagai satu kerjaya pilihan utama, sama pentingnya seperti bidang akademik dan bukan lagi sebagai pilihan kedua semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat GiatMara Pasir Gudang Sempena Program Jelajah Outreach Bersama Komuniti anjuran kementerian berkenaan, di sini hari ini.
Terdahulu, pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mencadangkan agar program TVET dilaksanakan lebih awal iaitu ketika di Tingkatan 1 berbanding Tingkatan 4 ketika ini.
Alimuddin dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan untuk membolehkan pelajar membuat pilihan lebih awal sama ada mahu bekerja dalam sektor industri atau melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Sementara itu, Awang yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan turut memberitahu, pihaknya telah mengambil beberapa pendekatan bagi mempromosikan bidang TVET dalam kalangan masyarakat termasuklah dengan penganjuran Program Jelajah Outreach Bersama Komuniti.
“Bukan mudah sebenarnya untuk mengubah ‘mind set’ masyarakat yang dahulunya menganggap bidang TVET ini sebagai pilihan kedua berbanding bidang akademik, namun golongan ibu bapa harus faham bahawa bidang TVET adalah amat luas.
“Bidang TVET terdapat pelbagai kepakaran berbeza yang mana ada anak-anak berpeluang untuk bersinar lebih baik dengan kerjaya dalam bidang ini berbanding dalam bidang akademik,” jelasnya.
Penggerak Daily