Oleh: Editorial Penggerak Daily
Tiada lagi individu (warganegara atau warga asing) dibenarkan menjalani kuarantin di rumah bermula Jumaat.
Sebaliknya, individu yang pulang ke tanah air diwajibkan menjalani kuarantin di institut latihan awam (ILA) atau hotel yang ditetapkan dengan kos sendiri sepenuhnya.
Sebelum ini, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan didapati negatif Covid-19 wajib menjalani kuarantin 14 hari di rumah, bukannya di pusat kuarantin lagi, bermula 10 Jun lalu.
Namun hari ini peraturan itu ditarik balik kerana masih ada individu degil melanggar SOP kuarantin rumah yang mengundang risiko penularan tempatan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenalpasti dan mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian sebagai pusat kuarantin.
“Warganegara yang pulang ke tanah air tidak lagi wajib menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal 3 hari sebelum berlepas pulang”,
“Bagaimanapun, warga asing perlu menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal 3 hari sebelum tarikh penerbangan,” tambah Ismail lagi dalam satu sidang media hari ini.
PenggerakDaily