Kerajaan memandang serius peningkatan kes positif Covid-19 yang dikesan di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah.
Serentak itu, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran berkuat kuasa tengah malam ini.
Katanya, penguatkuasaan PKPDB secara pentadbiran itu terhad di kawasan penjara termasuk kuarters kakitangan sahaja selama 14 hari mulai jam 12.01 tengah malam ini 5 Oktober 2020.
“PKPDB secara pentadbiran ini dilaksanakan setelah kita mengambil kira peningkatan jumlah kes yang berlaku di kawasan Penjara Alor Setar termasuk kuarters kakitangannya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Ismail, pelaksanaan PKPDB itu bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.
Sepanjang tempoh itu juga, katanya, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan berkenaan termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.
Sumber: MalaysiaGazette