Oleh: Editorial Penggerak Daily
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pula bertitah, kunci utama kepada sambutan hari kebangsaan ialah hasil perpaduan antara berbilang bangsa dan pegangan agama.
Justeru, baginda mengingatkan sebarang isu sensitif dan fitnah memfitnah perlu dielakkan kerana bakal menimbulkan kegusaran dan pergaduhan di kalangan rakyat.
Oleh itu, generasi hari ini perlu memikul tanggungjawab demi mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi dan pada waktu yang sama tidak lalai dan leka serta mengambil mudah tanggungjawab diamanahkan.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian pada Sambutan Malam Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan ke -63 Peringkat Negeri di Kangar.
Baginda turut mengajak semua lapisan masyarakat supaya menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan petugas barisan hadapan dalam mempertahankan keamanan, ketenteraman, keselamatan serta kedaulatan negara.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sumber: RTM