JOHOR BAHRU: Lapan ahli kongsi gelap termasuk tujuh juvana dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencederakan tiga remaja berusia 15 tahun yang enggan memasuki kongsi gelap selain menggunakan kekerasan untuk mencabut kehormatan mangsa, dua minggu lalu.
Seorang daripada mereka, Lim Jian Yau, 20, dijatuhkan hukuman denda RM4,200 atau penjara setahun setelah mengaku bersalah kerana mencederakan tiga remaja yang enggan memasuki kongsi gelap disertainya.
Majistret Hidayatul Syuhada Samsudin memerintahkan hukuman berkenaan selepas Jian Yau mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul tiga mangsa menggunakan tangan dan kaki di kawasan semak belakang taman permainan di Taman Mutiara Rini, Skudai, pada pukul 8 malam, 15 Jun lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin manakala tertuduh diwakili peguam, Jason Tan Ka Yan dan Mohamed Imran Mohamed Sam.
Sementara itu, tujuh juvana berusia antara 15 hingga 18 tahun berkenaan pula mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan kerana mencederakan dan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa.
Kesemua mereka membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Mereka didakwa mencederakan tiga mangsa itu dengan memukul mereka, menggunakan kekerasan dengan mencabul kehormatan serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata batang PVC yang boleh menyebabkan kematian.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di belakang gelanggang futsal Taman Keindahan, Skudai, kira-kira 7 malam, 15 Jun lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323, Seksyen 354 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu boleh menyebabkan mereka dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau menjalani perintah masyarakat atau membayar denda atau bon berkelakuan baik beserta syarat mahkamah atau dilepaskan dengan amaran.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Musa manakala peguam sama turut mewakili ketujuh-tujuh remaja berkenaan.
Mahkamah kemudian memerintah setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 seorang beserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain dihalang menganggu mangsa dan saksi sepanjang kes dibicarakan.
Nur Fatin kemudian menetapkan tarikh 29 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Penggerak Daily