JOHOR BAHRU: Lapan kluster aktif Covid-19 dikenalpasti di negeri ini sehingga semalam, dengan yang terbaru dikenali sebagai Kluster Makmur.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kluster baharu itu daerah Kulai dan Johor Bahru.
Menurut beliau, kes indeks bagi kluster ini dikesan positif lhasil saringan individu bergejala pada 19 November lalu.
“Sehingga semalam, 68 individu telah disaring, di mana enam dikesan positif dalam kluster ini dan pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
“Pertambahan Kluster Makmur menjadikan keseluruhan lapan kluster aktif di Johor, selain Kluster Kiambang, Kluster Parit Kassan, Kluster Jeri, Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu, Johor menyaksikan pertambahan sembilan kes Covid-19 baharu dengan satu kematian dicatat, semalam.
“Tujuh kes adalah daripada kluster termasuk lima kes melibatkan kluster baharu, satu kes daripada saringan kontak rapat dan satu lagi daripada lain-lain saringan,” ujarnya.
Tambah beliau, pertambahan kes dan kluster baharu tersebut dikesan ekoran sikap segelintir masyarakat yang mula tidak peka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan.
“Peratusan pematuhan terhadap SOP norma baharu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini adalah sebanyak 95 peratus.
“Sehubungan itu, masyarakat diingatkan untuk mengelakkan tiga S iaitu pergaulan di kawasan sempit, mengelakkan keadaan sesak dan mengelakkan sembang secara rapat dalam usaha mengekang penularan wabak ini,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily